Thursday, August 11, 2011

China uji kapal perang pengangkut



GAMBAR bertarikh 5 Ogos lalu menunjukkan kapal perang pengangkut pesawat China, sedang dalam proses penambahbaikan di pelabuhan Dalian, provinsi Liaoning province. Semalam, ia dilaporkan memulakan ujian pelayaran di laut. - AP


BEIJING 10 Ogos - Kapal perang pengangkut pertama China memulakan ujian di laut hari ini, dalam satu langkah yang boleh menimbulkan kebimbangan berhubung cita-cita negara itu berkenaan perselisihan wilayah maritim di Laut China Selatan.
Agensi berita Xinhua melaporkan, kapal tersebut meninggalkan pelabuhan Dalian di timur laut wilayah Liaoning awal hari ini.
Laporan Xinhua yang memetik sumber ketenteraan itu menyatakan, ujian tersebut dilaksanakan mengikut jadual pembinaan semula kapal tersebut yang dibeli China dari Ukraine lebih 10 tahun lalu.
China dua minggu lalu secara rasmi mengakui ia sedang membina semula kapal pengangkut itu yang akan digunakan untuk penyelidikan dan latihan, satu isyarat kuat yang menekankan rancangan negara komunis ini untuk membina sendiri kapal pengangkutnya.
Hasrat China untuk membina kapal tersebut mencetuskan kebimbangan negara-negara jiran di sebalik ketegangan tuntutan wilayah maritim di sekitar Taiwan dan Laut China Selatan.
China sejak beberapa tahun lalu dilihat sengaja menyemarakkan isu tuntutan wilayah maritim dengan Jepun, Filipina dan Vietnam yang menyaksikan hubungannya tegang dengan Korea Selatan.
Isu itu kemudian dikemukakan China kepada Washington bagi mendapat sokongan.
Xinhua melaporkan, kerja-kerja menguji serta membaik pulih kapal itu akan diteruskan sebaik ia pulang daripada menjalani ujian pendek tersebut.
Kapal pengangkut Varyag, yang masih belum dinamakan secara rasmi ditunda dari Ukraine tanpa enjin, sistem senjata atau kelengkapan penting lain.
Pakar pertahanan berkata, China berhasrat membina empat buah kapal pengangkut, yang mana perancangannya kini sedang giat dilakukan di limbungan Shanghai. - Agensi, utusan

No comments:

Post a Comment