Thursday, August 11, 2011

Mercun dalam bakul buah


KUALA PERLIS - Unit Pencegahan Penyeludupan (UPP) Kuala Perlis berjaya menemui pelbagai jenis mercun dan bunga api yang ditinggalkan dalam empat bakul buah di pesisir pantai berhampiran belukar di Kurung Tengar, di sini kira-kira jam 3.35 awal pagi semalam.

Komander UPP negeri, Superintendan Zakaria Abdul Rahman berkata, bertindak atas maklumat awam, sepasukan anggota risik UPP Kuala Perlis telah membuat serbuan di pesisir pantai Kurung Tengar awal pagi semalam.

Anggota selepas menjumpai satu longgokan yang terdiri dari beberapa bungkus mercun dan bunga api yang diseludup dari negara jiran melalui jalan laut ditinggalkan di pesisir pantai bertindak membuat risikan bagi memerangkap pemilik bahan letupan itu.

Bagaimanapun, selepas seketika menunggu, pemilik mercun itu tidak kelihatan dan UPP membawa kesemua barang rampasan itu ke pengkalan UPP di Kuala Perlis.

“Kita percaya, mercun dan bunga api ini ditinggalkan di situ untuk diambil pihak tertentu untuk dijual di pasaran tempatan menjelang musim perayaan tidak lama lagi,” katanya.

Anggaran rampasan kesemua mercun dan bunga api terbabit ialah RM4,000.

Beliau berkata, rampasan itu merupakan rampasan keempat sepanjang bulan Ogos.-SH

No comments:

Post a Comment