Thursday, August 11, 2011

Kabinet baru Yingluck

Foto
DARI kiri, Jeneral Yuthasak Sasiparpha, Surapong Towichukchaikul dan Thirachai Phuvanatnaranubala.

Tiada pemimpin Baju Merah dalam kerajaan adik Thaksin

BANGKOK: Perdana Menteri wanita pertama Thailand, Yingluck Shinawatra mengotakan janjinya bahawa pentadbirannya adalah untuk semua warga negara apabila mengecualikan semua pemimpin 'Baju Merah' yang menjadi penyokong kuat abangnya, Thaksin, dalam barisan Kabinet baru.
Pada masa sama, Yingluck juga meminta supaya diberi masa enam bulan sebelum sebarang penilaian dibuat mengenai prestasi pentadbirannya.
Pemimpin utama Baju Merah termasuk Jatuporn Prompan, Natthawut Saikua dan Dr Weng Tojirakarn, yang memenangi pilihan raya 3 Julai lalu, menggunakan tiket parti Pheu Thai tidak diberi tempat dalam Kabinet itu.

Malah, empat orang bukan ahli politik turut dipilih untuk berkhidmat dalam Kabinet, menurut senarai yang dikeluarkan oleh Rumah Kerajaan.

Mereka adalah bekas Jeneral Polis, Kowit Watana sebagai Timbalan Perdana Menteri, Kittirat na Ranong (Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Perdagangan), Thirachai Phuvanatnaranubala (Menteri Kewangan) dan bekas panglima Tentera Udara, Sukampol Suwannathat sebagai Menteri Pengangkutan.

Kowit adalah bekas ketua polis semasa pentadbiran Thaksin dan pernah berkhidmat sebagai Menteri Dalam Negeri di bawah pentadbiran Somchai Wongsawat manakala Kittirat pula bekas pengurus Bursa Saham Thailand.
Thirachai meletak jawatan sebagai setiausaha agung Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa Thailand minggu lepas dan Sukampol adalah bekas Ketua Polis Tentera.

Perdana Menteri Yingluck mempunyai lima timbalan dan selain Kowit dan Kittirat, mereka yang lain ialah dua pemimpin Pheu Thai, Yongyuth Eichaidit, Charlerm Yoobamrung dan pemimpin Chart Thai Pattana, Chumpol Silapa-archa.

Portfolio Pertahanan diberikan kepada Ahli Parlimen dari parti Pheu Thai, Jeneral Yuthasak Sasiparpha manakala seorang lagi Ahli Parlimen dari Pheu Thai, Surapong Towichukchaikul memegang portfolio Kementerian Luar.

(Adalah biasa bagi bekas jeneral dalam pasukan polis dan tentera di Thailand mengekalkan pangkat selepas persaraan mereka).

Mengenai keraguan terhadap Surapong sebagai Menteri Luar, Yingluck menekankan, beliau berpengalaman sebagai pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Luar Parlimen selain bertugas sebagai Ahli Parlimen sejak bertahun-tahun lalu.

Chart Thai Pattana, sebuah parti bersekutu kerajaan pimpinan parti Pheu Thai, juga diberi satu lagi jawatan menteri iaitu Menteri Pertanian yang disandang oleh Theera Wongsamut.

Selain itu, Timbalan Perdana Menteri Chumpol juga akan memegang portfolio Pelancongan dan Sukan. Dua lagi rakan bersekutu Pheu Thai, Phalang Chon, diberi jawatan Menteri Kebudayaan yang disandang oleh Sukumol Kunplome manakala parti Chart Pattana Puea Pandin mendapat portfolio Kementerian Perindustrian dengan Wannarat Charmnukul sebagai menterinya.

Portfolio penting yang lain seperti pendidikan, teknologi maklumat dan komunikasi, tenaga, kehakiman, sumber manusia dan kesihatan awam dipegang oleh Ahli Parlimen dari Pheu Thai. – BERNAMA , bharian

No comments:

Post a Comment