LUNAS - Kerana tidak berpuas hati dengan keputusan mahkamah, dua warga emas yang juga datuk serta nenek kepada dua murid berusia 10 dan 12 tahun bertindak nekad melarikan cucu mereka yang sedang belajar dalam kelas di sebuah Sekolah Kebangsaan Cina kira-kira jam 11.30 pagi kelmarin.
Pengerusi Pertubuhan Prihatin Kebaktian Masyarakat Kulim (PPKM), Khor Eng Khim berkata, beliau dimaklumkan mengenai kejadian itu oleh orang ramai dan mengarahkan ahli PPKM sedang membuat rondaan pergi ke tempat kejadian.
Menurutnya, warga emas berkenaan datang dengan menaiki kereta Toyota Avanza sebelum memasuki kawasan sekolah.
Katanya, mereka kemudiannya terus menuju ke kelas murid berkenaan dan menarik kedua-dua beradik itu keluar dari kelas serta membawa mereka masuk ke dalam kereta.
“Ahli PPKM yang sampai di tempat kejadian menutup pagar sekolah dan menghalang kenderaan terlibat dari melarikan mangsa. Lebih 100 ahli PPKM sampai di tempat kejadian. Saya dimaklumkan ibu bapa pelajar itu sudah bercerai. Dua warga emas itu adalah waris kepada ibu mangsa. Mereka bertindak demikian bertujuan untuk melarikan mangsa. Ketika ditahan, kedua-dua mangsa masih menangis di dalam kereta dan meminta tolong.
“Saya mengarahkan ahli PPKM menutup pagar sekolah dan mengepung kawasan tempat kejadian supaya suspek tidak melarikan diri sebelum memaklumkan kejadian itu kepada polis,” katanya.
Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ghuzlan Saleh berkata, mahkamah menetapkan hak penjagaan kedua-dua pelajar itu diberi kepada bapa mereka.
“Polis datang ke tempat kejadian hanya untuk meredakan keadaan selain melaksanakan arahan mahkamah.
“Ini adalah masalah keluarga. Kita tidak boleh ingkar pada arahan yang diputuskan oleh mahkamah. Ibu bapa pelajar ini sudah bercerai dan mahkamah menetapkan hak penjagaan mereka diberikan kepada bapa. Polis tidak membuat sebarang tangkapan selain mengarahkan waris terlibat mematuhi arahan yang dikeluarkan,” katanya.-SH
No comments:
Post a Comment