Thursday, August 11, 2011

Tsu Koon diminta fokus rampas Pulau Pinang

Bekas KM perlu diberi peluang tebus kesilapan 
BUTTERWORTH: Presiden GERAKAN, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon, perlu meletakkan jawatan sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri bagi membolehkannya memfokuskan terhadap usaha merampas semula negeri ini daripada pakatan pembangkang.

Seorang pemimpin Pemuda Barisan Nasional (BN) negeri, berkata bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu perlu diberikan peluang bagi menebus kesilapannya pada Pilihan Raya Umum 2008 yang menyaksikan pakatan pembangkang menawan negeri ini.
Sehubungan itu, katanya, Tsu Koon perlu meletak jawatan sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan tinggal sepenuh masa di Pulau Pinang bagi menumpukan segala usaha untuk menyelesai-kan masalah rakyat serta menjadi wakil pembangkang lebih berkesan. 

“Bila beliau melakukan usaha seumpama itu, barulah rakyat dapat melihat kesungguhannya membantu mereka dan menerimanya kembali, sekali gus memberi sokongan kepada BN. Sekarang mereka tidak melihat apa-apa (usaha) daripada Tsu Koon yang menyebabkan sentimen tidak sukakannya semakin memuncak. 

“Beliau sepatutnya menjadi seorang wira kepada rakyat Pulau Pinang dengan memperjuangkan isu rakyat, sekiranya mahu BN merampas semula pentadbiran negeri. Memanglah pada peringkat awal pelbagai kritikan akan diterima, tetapi lambat laun ia akan berubah kepada sokongan,” katanya ketika ditemui di sini, semalam. 

Semalam, akhbar ini melaporkan kenyataan Ahli Parlimen Nibong Tebal, Tan Tee Beng, bahawa Tsu Koon dianggap sebagai liabiliti kepada BN untuk merampas semula Pulau Pinang berikutan rasa tidak puas hati terhadapnya semakin memuncak. 
Tee Beng dipetik sebagai berkata, sentimen ‘anti’ terhadap 
Tsu Koon dilihat semakin menebal di kalangan rakyat yang menyebabkan mereka tidak mempunyai alternatif, selain memilih pakatan pembangkang untuk terus memerintah negeri ini. 

Mengulas lanjut, pemimpin pemuda BN itu berkata, keadaan BN Pulau Pinang kini dilihat sama seperti sebelum PRU 2008 iaitu terlalu selesa dan masih menganggap diri mereka sebagai kerajaan, bukan pembangkang. 

“Tiada strategi khusus dirangka BN Pulau Pinang yang diketuai Tsu Koon dan maklumat pula tidak disampaikan kepada akar umbi yang menyebabkan mereka keliru kerana tidak mengetahui apa-apa tindakan,” katanya. bharian

No comments:

Post a Comment