Thursday, August 11, 2011

Dua maut dalam 24 jam



HULU TERENGGANU - Tidak sampai 24 jam, dua maut dalam kemalangan berasingan di Kuala Berang melibatkan seorang suri rumah dan seorang penuntut yang masih belajar di Syria.

Tragisnya, kronologi kejadian juga hampir sama iaitu membabitkan motosikal dengan lori.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Tengku Hamzah Tengku Abdullah berkata, kejadian pertama berlaku kira-kira jam 4.30 petang kelmarin di KM 39 Jalan Kuala Terengganu-Kuala Berang (hadapan stesen minyak) membabitkan seorang pembonceng motosikal.

“Mangsa, Junaidah Ismail, 51, dari Kampung Pelandan membonceng motosikal Honda EX5 bersama suaminya, Ali Abdullah, 57, dan anak mereka, Nor Aida Nastasha, 8, dari Kuala Berang ke Ajil.

“Kemalangan berlaku apabila lori dipandu M Nor A Kadir, 25, dalam perjalanan dari Kuala Berang mengikuti laluan di sebelah kanan jalan. Apabila sampai di tempat kejadian, pemandu terbabit telah mengekori sebuah motosikal yang ketika itu berada di laluan kiri,” katanya.

Menurutnya, ketika hendak memotong, secara tiba-tiba motosikal berkenaan dipercayai masuk ke laluan kanan menyebabkan pemandu lori tersebut tidak sempat mengelak lalu merempuh motosikal itu.

“Mangsa mati di tempat kejadian setelah parah pada kepala, manakala suaminya cedera pada bahagian kiri.

“Anak mereka tidak mengalami kecederaan, begitu juga dengan pemandu lori terbabit,” katanya.

Sementara itu, dalam kejadian kedua yang berlaku kira-kira jam 10.30 pagi semalam di KM 35 Jalan Kuala Terengganu-Kuala Berang (hadapan tempat pelupusan sampah), seorang penunggang motosikal maut setelah terseret sejauh 48 meter.

“Mangsa, Mohd Zahid Shafiee, 20, dari Kampung Bukit Diman dari Ajil ke Kuala Berang dan menunggang di laluan kiri jalan.

“Namun, sebaik tiba di lokasi kejadian, dia dikatakan masuk tiba-tiba di laluan kanan kerana hendak membuat pusingan U tidak jauh dari situ,” katanya.

Menurutnya, pada masa sama, terdapat sebuah lori ais di laluan kanan berkenaan dan tidak sempat mengelak hingga merempuh motosikal mangsa. Akibatnya, mangsa terseret bersama motosikalnya.

“Mangsa mati di tempat kejadian akibat cedera parah pada kepala, selain patah tulang paha kiri dan kanan serta tulang punggung. Manakala, pemandu lori ais, Azlan Yahya, 25, beralamat di Batu Rakit tidak cedera, begitu juga kelindannya,” katanya.-SH

No comments:

Post a Comment