Thursday, August 11, 2011

Kes pembunuhan Sosilawati Lawiya: Rombongan tinjau lokasi bukti

MOHD ISHAK menunjukkan lokasi bahan bukti kes pembunuhan Sosilawati kepada peguam, Pushpa Ratnam   dan Amer Hamzah(kanan), di Banting, semalam.
MOHD ISHAK menunjukkan lokasi bahan bukti kes pembunuhan Sosilawati kepada peguam, Pushpa Ratnam dan Amer Hamzah(kanan), di Banting, semalam.
18 kenderaan berkonvoi lawat Sungai Arak, tiga tempat di Subang Jaya
 




SHAH ALAM: Pihak yang terbabit dalam perbicaraan kes pembunuhan jutawan kosmetik dan tiga rakannya, semalam melawat lokasi penemuan bahan bukti di Sungai Arak di Jalan Sungai Arak, Banting dan tiga lokasi di Subang Jaya, dekat sini.

Rombongan yang disertai Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Akhtar Tahir, pihak pendakwaan, pihak pembelaan, pegawai penyiasat kes, keempat-empat tertuduh kes itu dan pihak media dengan diiringi anggota dan pegawai polis.
Mereka meninggalkan Kompleks Mahkamah Shah Alam pada jam 9.20 pagi semalam dan menuju ke Sungai Arak untuk melihat lokasi bahan bukti iaitu kayu yang terbakar ditemui. 

Sebanyak 18 kenderaan termasuk kereta Proton Perdana yang dinaiki Akhtar, kereta peronda polis, kereta peguam dan timbalan pendakwa raya, trak polis yang membawa tertuduh dan petugas media berkonvoi ke lokasi dengan diiringi polis trafik yang membantu melancarkan perjalanan. 

Pada jam 10.05 pagi, rombongan itu tiba di lokasi berkenaan yang terletak dua kilometer dari jalan utama. Malah, lokasi yang dikelilingi kebun kelapa sawit itu agak terpencil kerana rumah penduduk terdekat kira-kira 500 meter dan rombongan berkenaan perlu melalui jalan kampung bertar untuk sampai ke situ. 

Pegawai Penyiasat, Mohd Ishak Yaakob dilihat memberi penerangan dan menunjukkan lokasi penemuan kepada Akhtar, pihak pendakwaan dan pembelaan manakala keempat-empat tertuduh, bekas peguam N Pathmanabhan, dan tiga pekerja ladang, T Thilaiyalagan, R Matan dan R Khatavarayan berdiri berdekatan. 
Sebelum itu, kumpulan berkenaan terpaksa menunggu peguam Manjeet Singh Dhillon, Gurbachan Singh dan Amer Hamzah Arshad yang tersesat ketika mencari lokasi berkenaan. 

Rombongan itu kemudian meninggalkan lokasi pada jam 10.30 pagi menuju ke tempat letak kereta di Flet Angsana di USJ 1, Subang Jaya iaitu lokasi penemuan kereta BMW X5 yang bernombor pendaftaran, WTL11 dan tiba di sana jam 11.20 pagi. 

Mereka meninjau lokasi berkenaan kira-kira 10 minit sebelum ke lokasi berdekatan yang terletak kira-kira 100 meter dari Flet Angsana, iaitu kawasan longkang di mana kunci kereta BMW X5 itu ditemui. 

Selepas berada di kawasan itu beberapa minit, rombongan berkenaan ke lokasi terakhir iaitu di tempat letak kereta di Jalan SS12/1B, Subang Jaya, iaitu lokasi tempat penemuan kereta jenis BMW bernombor pendaftaran AAJ5, milik peguam Ahmad Kamil Abd Karim, di hadapan deretan rumah dan di seberang jalan dengan Hotel Grand Dorsett Subang serta berdekatan Pusat Perubatan Sime Darby. 

Rombongan itu tiba di kawasan berkenaan pada jam 11.45 pagi dan menghabiskan masa lima minit untuk meninjau keadaan di sekitar kawasan berkenaan. bharian

No comments:

Post a Comment