Thursday, August 11, 2011

Denda RM57,000 akibat rasuah



KUANTAN- Seorang penjaga konsesi pasir dijatuhi hukuman penjara dua hari dan denda RM57,000 atas dua tuduhan apabila mengaku bersalah memberi rasuah kepada Pengarah Operasi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Wilayah Timur di Mahkamah Khas Rasuah di sini, semalam.

Bagi pertuduhan pertama, tertuduh, Abdullah Sani Cheah Abdullah, 42, berasal dari Ipoh, Perak, didakwa memberi suapan wang RM5,500 dan dua helai baju T kepada Komander Maritim, Syd Mohd Fuzi Syd Hasan, sebagai dorongan kepadanya supaya tidak mengambil tindakan undang-undang ke atas 11 perjalanan pengeluaran pasir oleh bot tunda dan tongkang.

Bot dan tongkang terbabit membawa muatan pasir sungai dari muara kuala Sungai Pahang ke Singapura mulai 2 hingga 13 Julai 2010 di sebuah hotel di Balok, di sini, jam 7 pagi pada 16 Julai tahun lalu.

Bagi pertuduhan kedua pula, dia didakwa memberi rasuah RM5,000 kepada Syd Mohd Fuzi sebagai dorongan kepadanya supaya tidak mengambil tindakan undang-undang ke atas mana-mana perjalanan pengeluaran pasir oleh bot tunda dan tongkang yang membawa muatan pasir sungai dari muara kuala Sungai Pahang ke Singapura pada masa akan datang di sebuah hotel di pusat bandar, antara jam 3.40 petang hingga 3.55 petang, 19 Ogos tahun sama.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana yang lebih tinggi bagi kedua-dua kesalahan tersebut.

Ketika diberikan peluang untuk merayu, Abdullah Sani menyatakan dia sudah tidak bekerja dan menanggung anak-anak yang masih kecil.

Namun Hakim Fathiyah Idris menetapkan hukuman penjara sehari dan denda RM29,000 bagi kesalahan pertama atau 18 bulan penjara jika gagal membayar denda tersebut.

Manakala bagi kesalahan kedua tertuduh dikenakan penjara sehari dan denda RM28,000 atau penjara 17 bulan jika gagal membayar denda yang ditetapkan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwaraya SPRM, Shafinaz Shabudin.-SH

No comments:

Post a Comment