KUALA LUMPUR 10 Ogos - Anak perempuan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Malini Rais hari ini sah bercerai dengan suaminya, Dr. Raja Badrul Hisham Raja Zezeman dengan lafaz talak satu di Mahkamah Rendah Syariah di sini.
Perkahwinan pasangan itu yang telah mendirikan rumahtangga sejak 11 tahun lalu menemui titik penyudah apabila ungkapan cerai tersebut dilafazkan oleh Raja Badrul Hisham, 43, di hadapan Hakim Syarie, Ahmad Basyir Yakub.
Mahkamah dengan itu memerintahkan supaya Malini menjalani tempoh idah selama tiga kali suci bermula hari ini.
Malini, 33, yang mengenakan baju kurung bercorak bunga dan bertudung warna hijau hadir ke mahkamah dengan ditemani beberapa ahli keluarganya termasuk ibunya, Datin Seri Masnah Rais, kelihatan tenang sepanjang prosiding berlangsung.
Ibu kepada tiga anak itu selaku plaintif yang diwakili peguam syarie, Zukifli Che Yong memfailkan permohonan cerai secara baik terhadap Raja Badrul Hisham pada 27 Julai lalu.
Dalam writ saman permohonan cerai itu, Malini mendakwa, Raja Badrul Hisham yang tidak diwakili peguam syarie, telah enam tahun bernikah dengan wanita lain tanpa pengetahuannya.
Plaintif dalam permohonannya juga menyatakan, cuba mempertahankan perkahwinan yang dibina sejak 27 Jun 2000 walaupun telah lama mendengar desas-desus tentang perkahwinan suaminya itu.
Malini juga mendakwa hasil pernikahan Badrul dengan wanita itu, pasangan tersebut telah dikurniakan dua cahaya mata.utusan
No comments:
Post a Comment