SHAH ALAM – Pekerja ladang, U. Suresh yang dihukum penjara 20 tahun, sekali lagi dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini semalam atas kesalahan memberi keterangan palsu ketika perbicaraan kes pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya bersama tiga yang lain.
Suresh, 26, bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Mohamed Mokhzani Mokhtar.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa memberi keterangan palsu ketika Timbalan Pendakwa Raya mendakwa tertuduh pertama N. Pathmanabhan, 41, bersama tiga pekerja ladangnya, T. Thilaiyangan, 19, R. Matan, 20, dan R. Kathavarayan, 30.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di Mahkamah Tinggi Jenayah Lapan di sini di depan Hakim Datuk Akhtar Tahir antara pukul 9.30 pagi hingga 12 tengah hari, 25 Julai dan 27 Julai lalu.
Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 193 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tujuh tahun dan denda jika sabit kesalahan.
Suresh yang juga saksi pendakwaan ke-29, pada 15 Oktober tahun lalu, bersama seorang lagi, K. Sarawanan dihukum penjara 20 tahun selepas mengaku bersalah atas tuduhan mengangkat, membakar dan membuang abu mayat Sosilawati; pemandunya, Kamaruddin Shamsuddin, 44; peguam, Ahmad Kamil Abdul Karim, 32; dan pegawai bank, Noorhisham Mohammad, 38.
Kejadian didakwa berlaku di Lot No. 2001, Jalan Tanjung Layang, Tanjung Sepat, Banting dekat sini antara pukul 8.30 malam dan 9.45 malam, 30 Ogos tahun lalu.
Timbalan Pendakwa Raya, Nur Azimul Azami memohon agar tertuduh dikenakan jaminan RM100,000 namun dibantah Peguam, A.S Dhaliwal dan Devinder Kaur yang mewakili tertuduh.
Mohamed Mokhzani kemudian menetapkan wang jaminan RM20,000 dan 3 November depan untuk sebutan semula kes.-kosmo
No comments:
Post a Comment