SUNGAI MANIK: “Sudah tiga Aidilfitri berlalu, namun anak kami terus terlantar di atas katil,” kata Noriza Sabar, 37, ibu kepada Syamsul Hazriq Baharudin, 16, yang lumpuh selepas dipanah petir empat tahun lalu.
Kejadian ketika mangsa bermain bola sepak di Sekolah Kebangsaan Sungai Tungku, di sini, kira-kira jam 5 petang, 29 Januari 2008 itu menyebabkan anak ketiga daripada enam beradik dikejarkan ke hospital.
Kemalangan ketika mangsa berusia 12 tahun itu menyebabkan mangsa terlantar di atas katil kerana sukar bergerak dan tidak boleh bercakap.
“Sejak Syamsul ditimpa musibah itu sambutan Aidilfitri kami sekeluarga disambut ala kadar saja.
“Kami tidak boleh berkongsi kegembiraan menyambut lebaran kerana tidak sampai hati melihat dia terus terlantar,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Lot 1214, Parit 3A, Sungai Manik, di sini, semalam.
Noriza yang ditemani suaminya, Baharuddin Baharan, 48, berkata, anaknya perlu disuapkan bubur dan hanya minum susu tepung untuk membolehkannya terus bernafas.
Katanya, walaupun doktor pakar termasuk dari Hospital Kuala Lumpur (HKL) mengesahkan anaknya mengalami lemah saraf otak dan tiada harapan sembuh, namun dia dan suami masih mengharapkan anak mereka pulih.
“Sebagai ibu, saya berdoa setiap kali selepas solat lima waktu memohon kepada Tuhan supaya anak kami sekurang-kurangnya boleh bergerak dan makan sendiri,” katanya.
Sementara itu, Baharuddin yang mengusahakan bengkel cuci kereta di hadapan rumah dengan pendapatan RM700 sebulan berkata, anaknya dulu seorang pelajar cergas, periang dan dilantik sebagai ketua pasukan bola sepak sekolah.
“Cita-citanya memimpin skuad bola sepak sekolahnya ke peringkat negeri berkecai apabila musibah itu berlaku.
“Kami suami isteri sudah puas menangis, namun reda menerima ujian Ilahi,” katanya.
Baharuddin berkata, anaknya menerima bantuan perlindungan Takaful bernilai RM15,000 sumbangan Jabatan Pelajaran Perak selain menerima bantuan RM300 sebulan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan RM600 sebulan dari Baitulmal untuk menguruskan anak mereka termasuk membeli lampin pakai buang.
Orang ramai yang mahu meringankan beban keluarga itu boleh menghubungi Baharuddin menerusi talian 013-5761280.hmetro
No comments:
Post a Comment