Tuesday, December 25, 2012

Banjir terburuk di Kuantan dalam sejarah



Harakahdaily, 24 Dis 2012

(Sebelah Berjaya Mega Mall)



KUANTAN: Hujan lebat lebih daripada 10 jam telah menyebabkan bandar Kuantan dilanda banjir terburuk dalam sejarah hari ini.

Pelbagai gambar yang memperlihatkan jalan-jalan utama dan kenderaan ditenggelami air sedang hangat dikongsikan di laman sosial media.


(Kawasan terminal bas Kuantan penuh dengan air)



Antara jalan yang ditenggalami air ialah Jalan Lim Hoe Lek, Jalan Pasar, Jalan Bukit Ubi, Jalan Wong Ah Jang, Jalan Mahkota, Jalan Abd Aziz, Jalan Air Putih, Jalan Haji Ahmad dan Jalan Beserah.

Ombar di Laut China Selatan dilaporkan mencecah 4 meter berdasarkan pengamatan seorang nelayan di Balok yang dihubungi Harakahdaily.

Kawasan-kawasan popular seperti Berjaya Megamall, Sri Dagangan, East Coast Mall and Zenith Hotel diselubungi air dengan kenderaan dilihat di bawah air setinggi paras pinggan.

Bekas Pengerusi NUTP (Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan) Ismail Nihat yang menetap di Taman Tas memberitahu Harakahdaily hujan lebat bermula 2 pagi semalam sehingga tengahari tadi sebelum beransur menjadi gerimis.


“Saya menelefon staf saya di pejabat (Jalan Darat Makbar), mereka memberitahu saya seluruh kawasan sekitar pejabat banjir dan menasihatkan saya agar tinggal di rumah,” katanya.

Hujan, katanya, baru berhenti ketika waktu Isyak, tapi langit masih mendung dikhuatiri akan hujan semula.

Ada laporan berkata banjir kilat di Kuantan kali ini mungkin disebabkan hujan lebat yang bertembung dengan air pasang di laut.

Ismail yang kini berusia 61 tahun berkata ini adalah banjir terburuk di bandar Kuantan setakat ini.

“Banjir besar di tahun 1971 pun bandar Kuantan tak seteruk macam ini,” katanya.


Seorang lagi penduduk di Semambu, Steven Say berkata beliau dimaklumkan jirannya dalam keadaan cemas kerana air banjir sudah melalui ruang tamu rumah.

“Saya berada di KL. Jiran saya menghubungi saya untuk memaklumkan keadaan. Jiran saya suruh jangan balik sebab seluruh kawasan perumahan (di Taman Tunas Jaya) ditenggelami air. Ini yang terburuk selama 20 tahun kami tinggal di kawasan itu,” katanya.

Sementara itu, Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Al-Haj ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah yang membuat tinjauan daripada udara untuk melihat keadaan banjir kilat yang melanda Kuantan.

Beliau menyeru kerajaan Pahang, Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) dan Jabatan Pengairan dan Saliran untuk mengkaji semula sistem perparitan di sekitar kawasan dan perumahan di bandar Kuantan.


Kata baginda, banjir kilat bukan disebabkan oleh paras air sungai yang meningkat atau sistem perparitan yang tersumbat tapi banyak parit dan longkang yang terlampau sempit menyebabkan air tidak boleh keluar. 

PAS Pahang dan Unit Amal turut telah turun ke padang untuk membantu penduduk. Bagi yang memerlukan bantuan, boleh hubungi PAS Pahang : Sharudin 0139191721 Fadli 0199111163.

No comments:

Post a Comment