Kabul: Seorang pegawai polis wanita Afghanistan menembak mati penasihat awam Amerika Syarikat di ibu pejabat polis Kabul, kelmarin.
Ia adalah kejadian pertama membabitkan wanita sebagai ‘orang dalam’ yang melakukan serangan.
Ia serangan terbaru yang menjejaskan lagi kepercayaan antara pasukan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) dengan sekutu tempatan menghadapi Taliban.
Jurucakap Pasukn Bantuan Keselamatan Antarabangsa NATO (ISAF) berkata, mangsa meninggal dunia kerana kecederaannya.
Penyerang wanita itu sudah ditahan dan siasatan sedang dijalankan, kata jurucakap Kementerian Dalam Negeri, Sediq Seidiqqi. Seorang pegawai kanan keselamatan berkata, mangsa adalah lelaki dan berjawatan penasihat NATO.
Pegawai wanita itu ditahan oleh rakan selepas kejadian, katanya lagi.
Latih 350,000 askar, polis NATO merancang untuk melatih 350,000 askar dan polis Afghanistan menjelang akhir 2014 sebelum menyerahkan semua tanggungjawab keselamatan kepada pasukan tempatan di bawah Presiden Hamid Karzai.
Konflik Afghanistan menyaksikan peningkatan serangan ‘orang dalam’ pada tahun ini dengan lebih 50 anggota ISAF maut.
NATO mendedahkan, kira-kira 25 peratus serangan dilakukan oleh tali barut Taliban manakala yang lain disebabkan pergaduhan peribadi dan perbezaan budaya antara askar Barat dan Afghanistan.
Serangan itu meningkatkan tentangan di negara Barat terhadap perang dan tinjauan pendapat menunjukkan majoriti penduduk mahu askar mereka pulang secepat mungkin.
Bagaimanapun, NATO menekankan, serangan itu tidak akan memaksanya mengundurkan lebih awal askar sebelum akhir 2014. AFP
No comments:
Post a Comment