Ada sebuah kampung di pedalaman Tanah Jawa. Di situ ada seorang perempuan tua yang sangat kuat beribadat. Pekerjaannya ialah membuat tempe dan menjualnya di pasar setiap hari. Ia merupakan satu-satunya sumber pendapatannya untuk menyara hidup. Tempe yang dijualnya merupakan tempe yang dibuatnya sendiri.
Pada suatu pagi, seperti biasa, ketika dia sedang bersiap-siap untuk pergi menjual tempenya, tiba tiba dia tersedar yang tempenya yang diperbuat daripada kacang soya hari itu masih belum menjadi, separuh jadi.Kebiasaannya tempe beliau telah masak sebelum bertolak. Diperiksanya beberapa bungkusan yang lain. Ternyatalah kesemuanya
belum masak lagi.
Perempuan tua itu berasa amat sedih sebab tempe yang masih belum
menjadi pastinya tidak akan laku dan tiadalah rezekinya pada hari
itu. Dalam suasana hatinya yang sedih, dia yang memang kuat beribadah
teringat akan firman ALLAH yang menyatakan bahawa ALLAH dapat
melakukan perkara-perkara ajaib, bahawa bagiNya tiada yang mustahil.
Lalu diapun mengangkat kedua tangannya sambil berdoa ,
"Ya ALLAH ,aku memohon kepadaMu agar kacang soya ini menjadi tempe. Amin.."
Begitulah doa ringkas yang dipanjatkan dengan sepenuh hatinya. Dia
sangat yakin bahawa ALLAH pasti mengabulkan doanya. Dengan tenang
perempuan tua itu menekan-nekan bungkusan bakal tempe dengan hujung jarinya dan dia pun membuka sikit bungkusan itu untuk menyaksikan keajaiban kacang soya itu menjadi tempe. Namun, dia termenung seketika sebab kacang tu masih tetap kacang soya.
Namun dia tidak putus asa, sebaliknya berfikir mungkin doanya
kurang jelas didengar oleh ALLAH. Maka dia pun mengangkat kedua
tangannya semula dan berdoa lagi.,
"Ya ALLAH, aku tahu bahawa tiada yang mustahil bagi-Mu. Bantulah aku supaya hari ini aku dapat menjual tempe kerana inilah mata pencarianku. Aku mohon agar jadikanlah kacang soyaku ini kepada tempe, Amin..."
Dengan penuh harapan dan debaran dia pun sekali lagi membuka
sedikit bungkusan tu. Apakah yang terjadi? Dia termangu dan hairan
apabila tempenya masih tetap begitu!! Sementara itu hari pun semakin
meninggi sudah tentu pasar sudah mula didatangi ramai orang. Dia
tetap tidak kecewa atas doanya yang belum terkabul.
Walau bagaimanapun kerana keyakinannya yg sangat tinggi dia
bercadang untuk tetap pergi ke pasar membawa barang jualannya itu.
Perempuan tua itu pun berserah pada Tuhan dan meneruskan pemergian ke pasar sambil berdoa dengan harapan apabila sampai di pasar kesemua
tempenya akan masak.
Dia berfikir mungkin keajaiban ALLAH akan terjadi semasa perjalanannya ke pasar. Sebelum keluar dari rumah, dia sempat mengangkat kedua tangannya untuk berdoa.,
"Ya ALLAH, aku percaya, Engkau akan mengabulkan doaku. Sementara aku berjalan menuju ke pasar, Engkau kurniakanlah keajaiban ini buatku, jadikanlah tempe ini. Amin.."
Lalu dia pun berangkat. Di sepanjang perjalanan dia tetap tidak lupa berdoa di dalam hatinya.
Sesampai sahaja di pasar, segera dia meletakkan barang-barangnya.
Hatinya betul-betul yakin yang tempenya sekarang mesti sudah menjadi.
Dengan hati yang berdebar-debar dia pun membuka bakulnya dan
menekan-nekan dengan jarinya setiap bungkusan tempe yang ada.
Perlahan-lahan dia membuka sedikit daun pembungkusnya dan melihat
isinya. Apa yang terjadi? Tempenya masih belum menjadi!! Dia pun
terkejut seketika lalu menarik nafas dalam-dalam. Dalam hatinya sudah
mula merasa sedikit kecewa dan putus asa kepada ALLAH kerana doanya
tidak dikabulkan.
Dia berasakan Tuhan tidak adil. Tuhan tidak kasihan padanya, inilah
satu-satunya punca rezekinya, hasil jualan tempe. Dia akhirnya cuma
duduk sahaja tanpa mempamerkan barang jualannya sebab dia berasakan bahawa tiada orang yang akan membeli tempe yang baru separuh menjadi. Sementara itu hari pun semakin petang dan pasar sudah mulai sepi, para pembeli sudah mula kurang.
Dia meninjau-ninjau kawan-kawan sesama penjual tempe, tempe mereka
sudah hampir habis. Dia tertunduk lesu seperti tidak sanggup menghadapi kenyataan bahawa hari ini tiada hasil jualan yang boleh
dibawa pulang. Namun jauh disudut hatinya masih menaruh harapan
terakhir kepada ALLAH, pasti ALLAH akan menolongnya. Walaupun dia
tahu bahawa pada hari itu dia tidak akan dapat pendapatan langsung,
namun dia tetap berdoa buat kali terakhir,
"Ya ALLAH, berikanlah penyelesaian terbaik terhadap tempeku yang belum menjadi ini.."
Tiba-tiba dia dikejutkan dengan teguran seorang wanita. ?
"Maaf ya,saya ingin bertanya, Makcik ada tak menjual tempe yang belum menjadi? Dari tadi saya sudah pusing keliling pasar ini untuk mencarinya tapi masih belum berjumpa lagi.?"
Dia termenung dan terpinga-pinga
seketika. Hatinya terkejut sebab sejak berpuluh tahun menjual tempe,
tidak pernah seorang pun pelanggannya mencari tempe yang belum
menjadi.
Sebelum dia menjawab sapaan wanita di depannya itu, cepat-cepat dia
berdoa di dalam hatinya,'Ya ALLAH, saat ini aku tidak mahu tempe ini
menjadi lagi. Biarlah tempe ini seperti semula, Amin..'
Sebelum dia menjawab pertanyaan wanita itu, dia membuka sedikit
daun penutup tempenya. Alangkah seronoknya dia, ternyata memang benar tempenya masih belum menjadi! Dia pun rasa gembira dalam hatinya dan bersyukur pada ALLAH. Wanita itu pun memborong habis kesemua tempenya yang belum menjadi itu. Sebelum wanita tu pergi, dia sempat bertanya wanita itu,
"Mengapa hendak membeli tempe yang belum jadi?"
Wanita itu menerangkan bahawa anaknya yang kini berada di England
teringin makan tempe dari desa. Memandangkan tempe itu akan
dikirimkan ke England,si ibu tadi kenalah membeli tempe yang belum
jadi lagi supaya apabila sampai di England nanti akan menjadi tempe
yang sempurna. Kalau dikirimkan tempe yang sudah menjadi, nanti di
sana tempe itu sudah tidak elok lagi dan rasanya pun kurang sedap.
Perempuan tua itu pun kehairanan dan berfikir rupa-rupanya doanya
sudah pun dimakbulkan oleh ALLAH?
Apa yang kita boleh rumuskan dari cerita di atas ?
1. Kita sering memaksakan kehendak kita kepada ALLAH sewaktu
berdoa, padahal sebenarnya ALLAH lebih mengetahui apa yang kita
perlukan dan apa yang terbaik untuk diri kita.
2. Sentiasalah berdoa dalam menjalani kehidupan seharian kita
sebagai hambaNya yang lemah. Jangan sekali-kali berputus asa terhadap
apa yang dipinta. Percayalah bahawa ALLAH akan mengabulkan doa kita
sesuai dengan rancanganNya yang mungkin di luar jangkaan kita.
3. Tiada yang mustahil bagi ALLAH
4. Kita sering ingin Allah memenuhi hak kita sedang kita tidak
pernah mahu memenuhi hak Allah seperti menjaga SEMBAHYANG 5 WAKTU ,menyegerakan solat, berkata-kata perkara yang berfaedah dan berpesan ke arah kebaikan..
Posted by aiyang
No comments:
Post a Comment