Tuesday, December 25, 2012

Kempen usir pengacara CNN dilancar



Piers Morgan
Piers Morgan
Washington: Penyokong hak miliki senjata Amerika Syarikat melancarkan kempen mengusir pengacara rancangan temu bual Cable News Network (CNN), Piers Morgan kerana mengecam hak berkenaan.

Selepas dua hari petisyen mengusir itu dilancarkan, 28,500 orang sudah menandatanganinya, melepasi angka 25,000 yang diperlukan untuk diberi ulasan oleh Rumah Putih.
Morgan yang juga bekas pengarang akhbar tabloid Britain, dianggap melancarkan kempen peribadi supaya peraturan memiliki senjata api diperketatkan selepas pembunuhan 20 kanak-kanak di Connecticut, 14 Disember lalu.

Selasa lalu, Morgan mewawancara pengarah eksekutif ‘Gun Owners of America,’ Larry Pratt, dan kelihatan marah apabila Pratt mencadangkan lebih banyak senjata adalah penyelesaiannya.

“Kamu memang bodoh, bukan begitu?” kata Morgan ketika perbualan mereka agak panas.

“Kamu tiada hujah baik langsung. Kamu tidak peduli mengenai kadar mangsa bunuh senjata di Amerika.”

Selepas temu bual itu, seorang wartawan Texas mengirim petisyen ke laman web Rumah Putih menuduh Morgan ‘melakukan serangan’ terhadap Perlembagaan Amerika dengan menyasarkan fasal Pindaan Ke-2.
Ramai penduduk Amerika memahami secara umum peruntukan itu yang merujuk kepada ‘hak memiliki senjata.’

Morgan menegaskan, Amerika boleh mengharamkan senapang ala tentera dan senjata berat tanpa mencabul hak rakyatnya selain tidak mempertikai Pindaan ke-2.

Dibayangi keganasan “Mereka lancar kempen untuk mengusir saya kerana menyerang hak Pindaan ke-2? Tidakkah pandangan saya dilindungi oleh Pindaan Pertama? ” katanya di Twitter, merujuk kepada peruntukan mengenai kebebasan berucap.

Ada juga di kalangan penduduk Amerika yang menyokong warga Britain itu. Lee Cox dari Arizona menulis: “Saya warga Amerika dan setuju 100 peratus dengan Morgan.

Jika dia pulang ke Britain, perlukah saya ikut sama?”

Amerika dibayangi keganasan senjata sejak tiga dekad lalu membabitkan 62 kejadian menembak sejak 1982, kebanyakannya membabitkan senjata yang dibeli penyerang secara sah.
AFP

No comments:

Post a Comment